(Dilencongkan dari Nurul Hidayah)
Selising, 14 Oktober 2007 - Maahad Tahfiz Nurul Hidayah Tualang Tinggi akan dinaiktaraf mulai tahun depan bagi menghadapi keperluan kemasukan pelajar yang ramai pada masa akan datang.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pendidikan, Sains dan Teknologi, Ustaz Mohd Amar Nik Abdullah berkata kerajaan negeri akan terus membangunkan pusat pendidikan tradisi itu bagi memenuhi keperluan masyarakat yang semakin mencabar.
"Dalam menghadapi zaman serba baru ini kita tidak boleh mengelak dari mempersiapkan anak-anak dengan ilmu dan maklumat yang sepada dengan zaman yang bakal mereka hadapi," katanya ketika menyampaikan tazkirah di majlis Ihya Ramadhan anjuran maahad berkenaan semalam.
Meskipun kerajaan negeri mempunyai kekangan kewangan dan kepakaran yang terhad, namun menurut beliau soal pendidikan tidak akan dikesampingkan.
Beliau melahirkan keyakinan bahawa orang ramai akan terus bersama-sama kerajaan negeri dalam membangunkan pusat-pusat pendidikan Islam dalam rangka mempertahankan akidah ummah dari digugat oleh pelbagai anasir yang tidak bertanggungjawab.
"Bagi pihak kerajaan saya mengucapkan terima kasih atas pelbagai usaha yang telah dibuat oleh masyarakat dalam membantu membangunkan institusi pendidikan Islam," ujar beliau.
Pada majlis yang sama satu tabung untuk pembangunan maahad terbabit telah dilancarkan oleh pengerusi jawatankuasa pembangunan, Ustaz Muhammad Haji Hussain.
Ketika melancarkan tabung itu beliau berkata adalah penting masyarakat tempatan menghargai kewujudan maahad tahfiz berdekatan dengan mereka.
"Walaupun kehadiran maahad seperti ini berhampiran dengan kita tidak memberi pulangan kebendaan serta merta namun masyarakat perlu memahami bahawa pusat ini merupakan anugerah paling besar," katanya. [1]
PASIR PUTEH, 29 Okt 2007 (Hrkh) - Kebakaran Maahad Tahfiz Al-Quran Nurul Hidayah, Kampung Tualang Tinggi dekat sini 22 Oktober lalu dianggap misteri apabila kejadian itu berlaku dua hari berturut-turut.
Kejadian hari pertama berjaya dipadam kakitangan sekolah dan keesokan hari berlaku lagi tanpa disedari sesiapa sehingga api merebak dengan pantas sekali.
Api dikatakan berpunca dari tempat yang sama. Malah ada dakwaan mengatakan terdapat kesan minyak pada kayu bawah tilam yang terbakar.
Pada kejadian yang berlaku jam 10.15 pagi itu menyebabkan 96 pelajar sekolah berkenaan yang berasal dari seluruh negeri termasuk Sabah hilang tempat tinggal. Manakala peralatan peribadi termasuk pakaian tidak sempat diselamatkan.
Api marak memusnahkan keseluruhan tingkat atas bangunan sekolah yang dijadikan asrama. Tingkat bawah pula bilik darjah. Ketika kejadian pelajar sedang mengikuti pengajian di kelas.
Ekoran kejadian itu Yayasan Islam Kelantan memberi cuti selama dua minggu sehingga 3 November ini kepada sekolah berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pendidikan, Sains dan Teknologi Negeri, Ustaz Mohd Amar Abdullah berkata, tempat belajar sementara akan ditentukan pada 3 November ini sementara menunggu bangunan baru siap.
“Kesemua pelajar terbabit akan menumpang sama ada di Maahad Tahfiz Sains Al-Quran yang lain atau Maahad Tahfiz Al-Quran Pulai Chondong. Setakat ini kita belum tentukan sekolah mana kerana ia bergantung mengikut keperluan.
“Mana-mana mahaad yang masih terdapat kekosongan sama ada di Tumpat, Tanah Merah, Pasir Mas atau Machang, pelajar terbabit akan ditempatkan sementara di situ,” ujarnya ketika dihubungi di sini.
Beliau juga berkata, kerajaan negeri dalam perancangan membesarkan bangunan Maahad Tahfiz Nurul Hidayah berikutan keperluan yang semakin mendesak setelah bilangan pelajar semakin bertambah.
“Pengambilan tanah di sekitarnya juga sedang dalam proses perbincangan dengan pemilik-pemilik tanah bagi memastikan tanah tersebut boleh dimanfaatkan,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai pengambilan balik tanah bagi membesarkan maahad berkenaan, Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan menggunakan kuasa sekiranya didapati ada pemiliknya berdegil enggan menyerahkannya bagi tujuan pendidikan anak-anak.
Beliau berkata, kerajaan negeri tidak akan teragak-agak menggunakan kuasa apabila terdesak selepas rundingan demi rundingan secara bertolak ansur diadakan dengan pemilik tanah menemui kegagalan.
"Apabila tiba peringkat guna kuasa kita gunakan kerana kepentingan orang ramai seperti nak buat jalan raya, hospital dan sekolah," katanya kepada pemberita selepas melawat Maahad Tahfiz Al-Quran Nurul Hidayah sehari selepas kejadian.
Kata beliau ada penduduk berdegil tanpa mahu bertolak ansur dengan meletakkan harga tiga kali ganda lebih tinggi berbanding harga semasa.
Ditanya usaha membina semula bangunan asrama Nik Aziz merayu kepada semua pihak tampil menghulurkan derma bagi membantu kerajaan negeri kerana ia memerlukan perbelanjaan yang agak besar.
Mohd Amar juga berharap pelajar serta ibu bapa usah risau ekoran kejadian itu kerana kerajaan negeri akan menanganinya secepat segera.
Pada hari kejadian sebahagian besar pelajar tidak mampu menahan air mata apabila asrama hangus terbakar di depan mata mereka.
Exco berkenaan juga menghulurkan sumbangan kepada pelajar sebanyak RM100 tiap seorang sebagai tambang untuk pulang ke rumah. Menteri Besar juga menyerahkan sumbangan peribadi kepada pihak sekolah.
Sementara itu, orang ramai yang ingin menderma bagi membantu maahad terbabit boleh menghubungi pengetuanya, Ustaz Ahmad Suzani Jaafar di talian 019 983 0778, atau akaun Bank Islam Cawangan Pasir Puteh 03 090010026356. - mj _ [2]
ARKIB : 23/10/2007 Oleh: ROHANA MOHD. NAWI
PASIR PUTEH 22 Okt. 2007 (Utusan) – Asrama Maahad Tahfiz al-Quran Nurul Hidayah di Kampung Tualang Tinggi dekat sini yang menempatkan 96 pelajar musnah dalam kebakaran berulang di Kampung Tualang Tinggi dekat sini, pagi ini.
Ketika kejadian, semua pelajar tingkatan satu dan dua itu berada di kelas.
Semalam pada waktu yang sama, api menyambar dua tilam di asrama dua tingkat itu namun kepulan asap disedari oleh pelajar dan mereka bertindak memadamkannya dengan menggunakan alat pemadam api dan air yang dipunggah.
Ketika kejadian, semua pelajar yang berusia 13 dan 14 tahun itu sedang mengikuti sesi persekolahan.
Ia mula disedari oleh pekerja asrama, Shamsiah Ismail, 55, yang sedang mencuci pakaian pelajar di bilik dobi bersebelahan bilik asrama kira-kira pukul 10 pagi.
‘‘Saya bergegas keluar dan memberitahu Penolong Kanan, Ahmad Mukhlis Mustafa dan beberapa pelajar sempat berlari naik ke asrama bagi menyelamatkan pakaian dan dokumen penting,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ahmad Mukhlis yang ditemui berkata, beliau kemudian mengarahkan semua pelajar supaya keluar dari kelas masing-masing yang terletak berhampiran agar tidak terperangkap dalam kebakaran itu.
“Sungguh pelik kerana semalam kebakaran kecil sudah berlaku, ketika bekalan elektrik di kawasan ini telah dipotong kerana tujuan kerja-kerja penyelenggaraan sehingga pukul 6 petang dan asrama berkenaan dikatakan dikunci,” katanya.
Bagaimanapun, katanya pihaknya akan menyerahkan kepada bomba dan polis untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung punca kebakaran itu.
Berikutan kejadian itu, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan Pendidikan Sains dan Teknologi, Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, beliau mengarahkan semua pelajar supaya bercuti dan pulang ke kampung masing-masing mulai hari ini sehingga 3 November.
“Kita sudah memaklumkan kepada ibu bapa masing-masing supaya mengambil anak mereka. Selepas dua minggu, mereka akan ditempatkan di dua pusat tahfiz di Tumpat dan Tanah Merah sehingga bangunan baru siap kelak,” katanya ketika meninjau tempat kejadian.
Beliau turut menyampaikan sumbangan segera sebanyak RM100 kepada pelajar bagi meringankan beban masing-masing kerana difahamkan wang perbelanjaan mereka turut musnah dalam kebakaran itu termasuk pakaian raya. [3]