< 2007
6 Februari - Sebelum tibanya hari yang dinanti-nantikan ini, gotong-royong telah diadakan sebanyak 4 kali ataupun 4 hari untuk menyambut ketibaan sultan selama 14 minit. Bermakna, seminggu MTAQ 'bercuti' memandangkan ustaz-ustaz terlalu sibuk untuk menguruskan ketibaan sultan nanti. Perbarisan untuk menyambut sultan terdiri daripada pelajar tingkatan 1 dan 2 dan tidak lupa juga pelajar-pelajar perempuan dari Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah turut berbaris memegang bendera negeri Kelantan. 6 buah sekolah dijemput hadir yang mana 4 dari Maahad Tahfiz Sains manakala 2 buah lagi dari sekolah menengah biasa. Gotong-royong tersebut termasuklah mengecat pagar, mengutip sampah, mencuci kolam ikan, menggantikan cermin nako yang pecah, menggunting pokok, mengalih dan membersihkan pasu, dan lain-lain lagi aktiviti yang dilakukan oleh para pelajar. Solat Hajat Perdana juga diadakan pada malam sebelum ketibaan sultan kelantan. Masjid yang akan dibina ini dititahkan sultan untuk siap sebelum tahun hadapan. Jadi, setelah mesyuarat diadakan, masjid tersebut dijangaka siap sebelum tibanya Hari Raya Aidil Adha pada tahun ini. InsyaAllah. Majlis Peletakan Batu Asas Masjid Keputeraan Pulai Chondong ini disempurnakan oleh KDYMM Al-Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra sendiri. Beliau datang bersama kerabatnya tepat jam 12.45 tengah hari. Tidak ketinggalan juga Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat turut serta menghadirkan diri ke majlis ini menambahkan lagi kunjungan masyarakat ke MTAQ. Majlis dimulai dengan lagu Al-Sultan Kelantan yang bergema ke seluruh pelusuk Pulai Chondong. Kemudian, majlis diserikan dan diberkatkan lagi dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh yang berbahagia Penolong Kanan Hal Ehwal Murid MTAQ, Ustaz Badrul Hisyam bin Sulaiman. Kemudian, diberikan pula mikrofon kepada Tuan Guru untuk menyampaikan sedikit amanat dan pesanan untuk kesejahteraan umat Islam seluruhnya. Selepas itu, bermulalah Majlis Peletakan Batu Asas tersebut oleh KDYMM Al-Sultan Kelantan sendiri. Diselangi dengan seruan Azan Makkatul Mukrromah, maka selesailah majlis tersebut. Kemudian, beliau diiringi untuk ke rumah seorang D/O di Machang untuk menyantap santapan tengahari. Seterusnya, tibalah giliran para pengunjung untuk menikmati sedikit jamuan rakyat yang disediakan di tapak perhimpunan, kantin, bawah garaj, bangunan sekolah baru dan hadapan bangunan sekolah. Lembu yang diperuntukkan untuk membuat jamuan ini adalah sebanyak 7 ekor dan dibuat gulai dengan menggunakan enam kawah besar di tepi masjid MTAQ. Sehubungan dengan itu, marilah kita sama-sama doakan agar masjid yang dibina ini mendapat kerahmatan dan keberkatan daripada Allah Subhanahu Wa Ta'ala.