Logo
  • Laman Utama
  • Pengenalan
  • Kurikulum
  • Kokurikulum
  • Pencapaian
  • Warga
  • Buletin
  • Galeri
Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat

2004

Isi kandungan

  • 1 Peristiwa-peristiwa
    • 1.1 Januari
      • 1.1.1 Sesi persekolahan tahun 2004 bermula
      • 1.1.2 Minggu orientasi pelajar-pelajar baru
      • 1.1.3 Keputusan Sijil Menengah Ugama (SMU) 2003
      • 1.1.4 Cuti persekolahan sempena Hari Raya Aidiladha
    • 1.2 Februari
      • 1.2.1 Majlis Khatam Al-Quran di Alor Star, Kedah
      • 1.2.2 Program Tunas Harapan 2004
      • 1.2.3 SMAS 1-6 MTAQ
      • 1.2.4 SMACH 0-6 MTAQ
      • 1.2.5 Kursus Muazzin
      • 1.2.6 Majlis Perasmian Usrah BDK 2004
      • 1.2.7 SMKAW 0-3 MTAQ
      • 1.2.8 Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2003
    • 1.3 Mac
      • 1.3.1 Pertandingan Kawad Kaki Zon 5
      • 1.3.2 Juara Laman Web
      • 1.3.3 Majlis Penutup SALAM 1425
      • 1.3.4 Cuti Sekolah
      • 1.3.5 Cuti Sekolah
    • 1.4 April
      • 1.4.1 Pertandingan syarahan peringkat Zon 5
      • 1.4.2 Pertandingan kuiz Sains & Matematik dan Bahasa Arab
      • 1.4.3 Pertandingan syarahan bahasa Melayu peringkat akhir 2004
      • 1.4.4 Pertandingan kawad kaki peringkat negeri Kelantan (YIK) 2004
      • 1.4.5 Seminar pendedahan format baru SPM 2004
      • 1.4.6 Peperiksaan Pertengahan Tahun
      • 1.4.7 Lawatan Sambil Belajar Ke Kuala Lumpur
      • 1.4.8 KESUMA IV 2004
    • 1.5 Jun
      • 1.5.1 Cuti Persekolahan
      • 1.5.2 Le Tour De Peninsula
      • 1.5.3 Kau Sahabat Kau Teman
      • 1.5.4 Peperiksaan Percubaan SMTQ
    • 1.6 Julai
      • 1.6.1 Sambutan Hari Guru MTAQ
      • 1.6.2 Pelajar STAM Ke Madewa
      • 1.6.3 Kursus Kewartawanan
      • 1.6.4 Enam Anugerah Sempena Sambutan Hari YIK 2004
      • 1.6.5 Majlis Penyampaian Anugerah Sempena Hari YIK 2004
      • 1.6.6 Ceramah Umum
      • 1.6.7 Kursus Kaifiat Solat Nabi
      • 1.6.8 Peperiksaan SMTQ 2004
      • 1.6.9 Pertukaran Mudir MTAQ
    • 1.7 Ogos
      • 1.7.1 Majlis perpisahan bekas pengetua
      • 1.7.2 Peperiksaan percubaan SMU/SPM/STAM
      • 1.7.3 Cuti Sekolah
    • 1.8 September
      • 1.8.1 Hari Fotografi
      • 1.8.2 Kem Kecemerlangan Pelajar SMU, SPM dan STAM 2004

Peristiwa-peristiwa

Januari

Sesi persekolahan tahun 2004 bermula

4 Januari - Warga MTAQ telah kembali ke alam persekolahan setelah bercuti selama lebih kurang 1 minggu. Sesi persekolahan pada tahun ini lebih meriah dengan perpindahan kelas permbelajaran ke blok sekolah yang baru siap dibina. Para pelajar telah diwajibkan untuk melaporkan diri di sekolah selewat-lewatnya jam 6 petang pada hari Sabtu, 3 Januari 2004. Walau bagaimanapun bagi pelajar-pelajar baru tingkatan 1, mereka diwajibkan mendaftarkan diri di sekolah pada 4 Januari 2004 jam 9 pagi. Diharapkan sesi persekolahan pada tahun ini akan berjalan dengan lebih lancar dan menjanjikan seribu satu kejayaan buat MTAQ. TAKBIR!!!

Minggu orientasi pelajar-pelajar baru

4-7 Januari - Pihak Majlis Pelajar MTAQ 2004 telah menganjurkan satu program untuk menyambut kedatangan seramai 51 orang pelajar-pelajar baru ke MTAQ. Program ini telah berlangsung selama 4 hari bermula pada 4 Januari 2004 dengan Majlis Perasmian oleh Pengetua MTAQ, Ust. Nasir b. Hasbullah. Pelbagai acara dan program yang menarik telah diatur dan dijalankan selama minggu orientasi ini dijalankan. Ini termasuklah taklimat tentang MTAQ, sesi suai kenal bersama pelajar senior, dan juga sesi riadah. Minggu orientasi ini berakhir dengan Majlis Perasmian Penutup oleh Tuan Mudir pada 7 Januari 2004.

Keputusan Sijil Menengah Ugama (SMU) 2003

7 Januari - Keputusan peperiksaan SMU/SMTQ telah diumumkan di Yayasan Islam Kelantan oleh Ketua Pengarah YIK pada pagi ini. Calon SMU/SMTQ 2003 MTAQ telah dibenarkan untuk mengambil slip keputusan di pejabat MTAQ pada pukul 11 pagi. Keputusan SMU pada tahun ini meningkat secara keseluruhan berbanding tahun lepas. Hanya seorang sahaja calon yang berjaya mendapat keputusan '1 Cemerlang' berbanding dengan tahun lepas seramai 2 orang. Calon tersebut, Abdul Hakim bin Mahadzir berjaya memperolehi sebanyak 7A1, 3A2. Walau bagaimana pun, keputusan SMU pada tahun ini masih lagi mengekalkan rekod cemerlang MTAQ sebagai sekolah terbaik di seluruh Kelantan. Sekalung tahniah diucapkan kepada calon SMU 2003. Semoga dengan kejayaan ini akan terus menjadi milik MTAQ di masa akan datang.

Cuti persekolahan sempena Hari Raya Aidiladha

28 Januari - 4 Februari - Warga MTAQ telah dibenarkan pulang ke kampung untuk bercuti selama 5 hari sempena Hari Raya Aidil Adha 1424. Para pelajar dibenarkan pulang pada hari Khamis pukul 2.30 petang dan dipaksa kembali ke sekolah semula pada 4 Februari 2004 iaitu pada hari Selasa sebelum pukul 6 petang. Pihak sekolah juga telah mengadakan majlis korban bersama penduduk kampung. Seekor lembu telah dikorbankan dan ia telah disembelih oleh Tuk Penghulu Mukim Pangkal Gong. Majlis jamuan diadakan pada hari Rabu dan dinikmati oleh semua pelajar dan kakitangan MTAQ.

Februari

Majlis Khatam Al-Quran di Alor Star, Kedah

5 Februari - Seramai 40 orang pelajar termasuk 3 orang guru pengiring telah bertolak ke Alor Star, Kedah untuk menghadiri jemputan Majlis Khatam Al-Quran di rumah Tuan Haji Firuz. Rombongan ini bertolak dengan bas yang telah ditempah khas oleh Tuan Haji Firuz pada pukul 10 pagi. Mereka dijangka kembali semula ke sekolah pada hari Isnin, 9 Februari.

Program Tunas Harapan 2004

5-7 Februari - Sebuah program telah diadakan di MTAQ, dianjurkan oleh Badan Dakwah & Kepimpinan dengan kerjasama Badan Kaunseling MTAQ. Program ini hanya melibatkan pelajar Saff Tajwidi dan beberapa orang AJK program yang terdiri daripada pelajar senior. Objektif program ini diadakan adalah untuk memberikan pengetahuan asas dalam Islam. Antara program yang telah diadakan ialah Kursus Wudhu', Bengkel Al-Fatihah, Muhasabah Diri dan ceramah-ceramah motivasi. Diharapkan kepada para peserta agar dapat mengambil sebanyak mungkin manfaat daripada program ini untuk kesenangan di masa hadapan.

SMAS 1-6 MTAQ

11 Februari - Satu perlawanan percubaan telah diadakan di padang Sekolah Menengah Abdul Samad pada hari ini di antara pasukan bola sepak MTAQ dengan SMAS. Perlawanan yang bermula pada pukul 6.10 petang dan berakhir pada pukul 6.55 petang berkesudahan dengan keputusan yang memberangsangkan buat pasukan MTAQ, 1-6. Ini adalah perlawanan yang pertama melibatkan pasukan Maahad Tahfiz Al-Quran buat tahun ini sebelum menghadapi pertandinagn yang akan datang.

SMACH 0-6 MTAQ

13 Februari - Selepas menang dalam perlawanan percubaan dengan SMAS, pasukan MTAQ sekali lagi melakar nama dengan kemenangan dalam perlawanan persahabatan dengan pasukan Sekolah Menengah Sains Machang (SMACH), Kelantan. Para pemain dan penyokong telah bertolak ke SMACH pada awal 8.10 pagi. Perlawanan berlangsung tepat jam 9.00 pagi dan MTAQ mendahului dengan 2 gol pada separuh masa pertama. Separuh masa kedua menjanjikan kelebihan sekali lagi kepada pasukan MTAQ setelah menjaringkan sebanyak 4 lagi gol. Perlawanan ini juga telah dihadiri oleh Ustaz Abdul Khir dan Ustaz Ahmad Mukhlis yang mengiringi para penyokong dari MTAQ. Diharapkan semoga pasukan MTAQ akan terus berjaya pada masa akan datang dan mengharumkan nama MTAQ.

Kursus Muazzin

13 Februari - Badan Dakwah dan Kepimpinan telah menganjurkan satu kursus untuk melatih para pelajar dengan cara azan dengan betul. Kursus yang dinamakan Kursus Muazzin ini telah melibatkan para pelajar daripada tingkatan 2 Aliah dan ke bawah. Pembentang kertas kerja yang telah dijemput ialah Ustaz Abdul Khir bin Jalil selaku Guru Penasihat Badan Dakwah dan Kepimpinan. Kursus ini bermula pada pukul 10.30 pagi dan berakhir pada pukul 12.00 tengah hari. Semoga kursus seumpama ini dapat memberikan manfaat kepada pelajar-pelajar.

Majlis Perasmian Usrah BDK 2004

13 Februari - Perasmian Program Usrah telah diadakan pada hari ini di Masjid MTAQ sejurus selesai solat Maghrib secara berjemaah. Program ini bermula dengan ucapan daripada Presiden Majlis Pelajar dan diikuti dengan ucapan dan perasmian oleh Ustaz Abdul Khir bin Jalil. Seterusnya para pelajar telah melaungkan 'Ikrar Wehdah' yang telah diketuai oleh Saudara Umar Ikhwan. Usrah kali pertama diadakan selepas itu sehingga waktu Isya'. Majlis bersambung dengan upacara penyampaian watikah kepada para Nuqaba' dan pembantunya. Majlis ini dipengerusikan oleh Saudara Nabil bin Abas. Diharapkan agar program usrah pada tahun ini dapat berjalan dengan lancar sepanjang tahun, insya-Allah.

SMKAW 0-3 MTAQ

20 Februari - Sekali lagi pasukan bola sepak MTAQ melakar kejayaan ke atas Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Wataniah, Machang selepas menang 0-3 di padang SMKAW. Pasukan MTAQ tiba di SMKAW dengan sebuah van diiringi oleh Ustaz Abdul Khir dan Cikgu Khairul Fatmee sebagai jurulatih pasukan pada pukul 5.20 petang. Perlawanan bermula pada pukul 5.40 dengan MTAQ membuka tirai jaringan oleh Mohd Syazwan seawal minit yang ke-10. Pasukan MTAQ yang turun dengan jersi putih telah diberi tentangan hebat daripada pasukan SMKAW. Gol kedua hasil jaringan sendiri dan yang ke-3 oleh Abdul Muiz yang diperolehi melalui sepakan penalti. Kemenangan ini adalah kemenangan yang ketiga selepas 2 perlawanan persahabatan yang diadakan sebelum ini.

Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2003

29 Februari - Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2003 telah diumumkan semalam. Bagi MTAQ, keputusan pada tahun ini telah menunjukkan peningkatan secara mendadak setelah memperoleh anugerah Sekolah Cemerlang SPM 2003, Sekolah Terbaik bagi kategori SMKA dan Sekolah kedua terbaik Malaysia secara keseluruhan. Secara purata, pelajar-pelajar yang menduduki SPM 2003 di MTAQ mendapat 8A seorang. Pelajar Terbaik SPM 2003 ialah saudara Makhathir bin Yatiban yang memperoleh 10A1 dan 1A2. Keputusan ini dianggap sebagai pencapaian paling cemerlang sejak penubuhan MTAQ. Diharapkan semoga peperiksaan SPM pada tahun-tahun yang akan datang akan dapat mengekalkan dan meningkatkan lagi prestasi sekolah. Tahniah diucapkan!

Mac

Pertandingan Kawad Kaki Zon 5

2 Mac - Persatuan Briged Bakti telah menjadi wakil MTAQ untuk ke Pertandingan Kawad Kaki Peringkat Zon 5 yang diadakan di SMU(A) Ittihadiah Tanjung Pagar, Ketereh. Mereka telah mendapat tempat kedua. Manakala tempat pertama telah dimenangi oleh tuan rumah, iaitu SMU(A) Ittihadiah Tanjung Pagar.

Juara Laman Web

10 Mac - MTAQ sekali lagi mencipta nama apabila mendapat tempat pertama dalam Pertandingan Laman Web Peringkat Negeri Kelantan bagi kategori sekolah menengah/rendah. Pertandingan ini dilangsungkan di Bilik Gerakan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (SUK). Sebelum ini, MTAQ pernah terlibat dengan pertandingan seumpana ini pada tahun 2000 dan mendapat tempat ketiga. Syabas diucapkan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan pembinaan laman web ini.

Majlis Penutup SALAM 1425

11 Mac - Program Sambutan Awal Muharam (SALAM 1425) diakhiri secara rasmi dengan ucapan daripada Penolong Kanan Pentadbiran, Ustaz Suhaimi bin Sulaiman dan Pengarah Program, Mohamed Abdul Naim bin Mohamed Nawi pada masa perhimpunan. Ia diteruskan pula dengan acara penyampaian hadiah kepada para pemenang dalam kuiz dan pertandingan yang telah dianjurkan oleh AKJ SALAM 1425. Majlis ini disudahi dengan Acara Resolusi yang melibatkan AJK SALAM 1425 dan ahli Majlis Pelajar.

Cuti Sekolah

12-21 Mac - Sesi persekolahan dihentikan buat sementara waktu serentak dengan sekolah-sekolah lain di seluruh Malaysia selama sepuluh hari. MTAQ dibuka semula pada hari Isnin, 22 Mac.

Cuti Sekolah

30 Mac - 3 April - MTAQ ditutup sekali lagi selama 5 hari bersempena dengan Hari Keputeraan Sultan Kelantan dan di samping masalah kekurangan air di MTAQ.

April

Pertandingan syarahan peringkat Zon 5

10 April - 2 Orang pelajar telah mewakili MTAQ dalam pertandingan syarahan yang dianjurkan YIK peringkat Zon 5. Syarahan bahasa Inggeris telah diwakili oleh Saudara Abdul Hakim b. Mahadzir yang telah diadakan di SMU(A) Darul Aman, Kok Lanas dan telah berjaya mendapat tempat kedua. Saudara Muhammad bin Abdullah pula telah mewakili MTAQ dalam pertandingan syarahan bahasa Melayu yang diadakan di SMU(A) Diniah Pasir Senor. Beliau berjaya menjadi johan dalam pertandingan tersebut dan seterusnya akan mewakili Zon 5 dalam pertandingan Syarahan peringkat akhir MASSAK.

Pertandingan kuiz Sains & Matematik dan Bahasa Arab

13 April - Seramai 4 orang pelajar telah mewakili MTAQ dalam kuiz Sains & Matematik MASSAK Zon 5 yang telah diadakan di SMU(A) Taqaddum Ilmi, Ketereh manakala 4 lagi bagi kuiz Bahasa Arab di SMU(A) Ittihadiah, Tanjung Pagar. MTAQ telah berjaya menjadi johan bagi kedua-dua kuiz ini.

Pertandingan syarahan bahasa Melayu peringkat akhir 2004

15 April - Seorang pelajar MTAQ telah mewakili Zon 5 dalam pertandingan syarahan bahsa melayu peringkat akhir YIK 2004. Pertandingan ini telah diadakan di SMU(A) Banggol Kulim, Rantau Panjang. Saudara Muhammad bin Abdullah sekali lagi telah muncul sebagai Johan pertandingan ini setelah menang di peringkat Zon 5. Tahniah diucapkan!

Pertandingan kawad kaki peringkat negeri Kelantan (YIK) 2004

17 April - Pasukan Briged Bakti Negeri Kelantan cawangan Maahad Tahfiz Al-Quran telah mewakili Zon 5 untuk pertandingan kawad kaki peringkat negeri Kelantan yang telah diadakan di Balai Bomba jajahan Bachok. Sebanyak 11 buah pasukan yang merangkumi semua badan berunifom di sekolah-sekolah seluruh Kelantan telah menyertai pertandingan ini. Pasukan BBNK MTAQ berjaya menduduki tempat kelima daripada 11 pasukan tersebut walaupun ini adalah kali pertama BBNK MTAQ menyertai pertandingan ini.

Seminar pendedahan format baru SPM 2004

20-29 April - Satu program telah diatur untuk pelajar tingkatan 4 dan 5 selama dua minggu. Program yang berbentuk seminar ini telah bermula pada 20 April 2004 bertujuan sebagai persediaan kepada calon-calon SPM 2004 terutamanya mengenai format-format terkini peperiksaan SPM. Antara subjek yang terlibat dalam seminar ini adalah Matematik, Ekonomi Asas, Prinsip Akaun, Sejarah, Pendidikan Syariah Islamiah (PSI), dan Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah (PQS). Penceramah-penceramah yang dijemput terdiri daripada ketua dan para pemeriksa kertas SPM. Semoga peserta seminar dapat mengambil manfaat daripada program ini.

Peperiksaan Pertengahan Tahun

11-31 Mei - Dalam tempoh selama 22 hari ini semua pelajar MTAQ menghadapi Peperiksaan Pertengahan Tahun yang melibatkan semua matapelajaran yang telah diajar. Bersempena dengan tempoh masa yang "sibuk" ini semua pelajar melakukan solat hajat setiap kali selepas maghrib untuk meminta hajat supaya mendapat keputusan yang cemerlang. Semoga usaha dan doa mereka membuahkan hasil yang memberangsangkan, insya-Allah.

Lawatan Sambil Belajar Ke Kuala Lumpur

27-30 Mei - Kerajaan Negeri menganjurkan satu lawatan sambil belajar ke Kuala Lumpur bersempena deengan Program Penggalakan Sains & Teknologi Negeri Kelantan 2004. Antara sekolah yang terlibat ialah MTAQ, SMU(A) Maahad Muhammadi Perempuan, SMU(A) Syamsul Maarif Perempuan, Sek. Keb. Laloh Kuala Krai dan lain-lain yang telah menjadi juara dalam Pertandingan Laman Web dan Pertandingan Multimedia anjuran kerajaan negeri. Rombongan yang berjumlah dua buah bas itu telah melawat MMU (Multimedia University) Cyberjaya, TMNet Sdn. Bhd, Telekom Malaysia Bhd, Pusat Sains Negara dan lain-lain lagi di sekitar Kuala Lumpur. Seramai 2 orang guru dan 5 orang pelajar dari MTAQ telah menyertai rombongan tersebut.

KESUMA IV 2004

31 Mei - 3 Jun - Badan Sukan & Kegiatan menganjurkan sebuah program tahunan yang dinamakan Kejohanan Sukan MTAQ Kali Keempat (KESUMA IV 2004). Dengan bermottokan "We Are Better Than Others!", program ini dijalankan sehari selepas berakhirnya musim peperiksaan. Program ini berjalan dengan lancar sekali selama tiga hari dan berakhir pada hari sebelum cuti persekolahan.

Jun

Cuti Persekolahan

4-12 Jun - Sesi persekolahan MTAQ ditutup selama sembilan hari.

Le Tour De Peninsula

4-9 Jun - Majlis Pelajar MTAQ sekali lagi menganjurkan sebuah program lawatan sambil belajar yang diberi nama Le Tour De Peninsula yang melibatkan 40 orang pelajar. Dengan bermottokan "Veni, Vedi, Vinci", program ini membawa pelajar ke hampir seluruh semenanjung Malaysia. Antara tempat-tempat menarik yang dilawati ialah Cameron Highlands, MIAT, UTM Skudai, Gunung Ledang dan banyak lagi.

Kau Sahabat Kau Teman

19 Jun - Salah seorang daripada saudara kita (Taqiyuddin Hazim) telah pulang ke rahmatullah pada pagi Sabtu akibat kemalangan jalan raya di hadapan Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah...

Peperiksaan Percubaan SMTQ

27 Jun - Pelajar SMU akan menghadapi Peperiksaan Percubaan SMTQ bermula dengan peperiksaan lisan al-Quran, diikuti dengan al-Qiraat dan bertulis al-Quran. Mereka akan menghadapi peperiksaan sebenar SMTQ 11 Julai 2004. Semoga semua calon dapat memberikan usaha yang terbaik mereka.

Julai

Sambutan Hari Guru MTAQ

1 Julai - Majlis Pelajar menganjurkan Program Sambutan Hari Guru peringkat MTAQ 2004. Program ini adalah yang kali ketiga dianjurkan sejak MTAQ ditubuhkan. Antara acara yang dilaksanakan ialah sukan para guru, persembahan pelajar, pertandingan melukis poster dan penyampaian hadiah penghargaan. Anugerah Guru Mithali pada tahun ini jatuh kepada Cikgu Mohd Fauzi bin Zainuddin. Sesungguhnya jasa guru tidaklah boleh diukur dengan hadiah-hadiah. Cukuplah sekadar kejayaan anak didik mereka yang dapat memberikan kepuasan untuk mereka. Semoga Allah membalas segala jasamu di akhirat kelak...

Pelajar STAM Ke Madewa

1 Julai - Semua pelajar 2 Takhassus berangkat ke Madewa, Perak untuk menyambung pelajaran mengambil sijil diploma qiraat bagi mendapatkan kelayakan untuk ke Shoubra, Mesir tidak lama lagi.

Kursus Kewartawanan

3 Julai - Badan Redaksi & Pameran 2004 menganjurkan sebuah program sehari yang bernama Kursus Kewartawanan. Kursus ini melibatkan 50 orang pelajar yang terdiri daripada AJK Badan Redaksi, Exco Majlis Pelajar dan Setiausaha Badan. Jawatankuasa Kursus menjemput khas tiga orang penceramah dari Unit Penerangan Negeri Kelantan untuk membentangkan kertas kerja bagi memberikan gambaran yang jelas kepada peserta mengenai selok-belok bidang kewartawanan.

Enam Anugerah Sempena Sambutan Hari YIK 2004

6 Julai - Bersempena dengan Hari Yayasan Islam Kelantan (YIK) pada hari ini, satu majlis telah diadakan di Balai Islam Lundang, Kota Bharu. Semua guru yang mengajar di sekolah-sekolah di bawah kelolaan YIK telah diwajibkan hadir ke majlis sambutan tersebut. Pelbagai acara telah diadakan termasuklah majlis penyampaian anugerah daripada pihak YIK kepada sekolah-sekolah dan pelajar. MTAQ muncul sebagai sekolah yang menerima anugerah terbanyak di dalam majlis itu dengan enam anugerah semuanya. Anugerah-anugerah tersebut ialah 'Anugerah Pencapaian SMU Terbaik 2003', 'Anugerah Pencapaian SPM Terbaik 2003', 'Anugerah Peningkatan Prestasi SMU', 'Anugerah Peningkatan Prestasi SPM' di mana kedua-dua anugerah ini diberikan sebanyak tiga tahun sekali. Anugerah lain ialah 'Sekolah Terbaik YIK 2003' dan anugerah khas pada tahun ini, 'Anugerah Sekolah Agama Terbaik SPM peringkat Kebangsaan 2003'. Anugerah-anugerah ini telah disampaikan oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalan Menteri Besar, Ustaz Ahmad bin Yaakob dan Exco Pendidikan, Sains & Teknologi, YB Mohd Amar bin Nik Abdullah kepada Pengetua MTAQ, Ustaz Mohd Nasir Hasbullah. Semoga kejayaan ini akan diteruskan pada masa akan datang, insya-Allah.


Majlis Penyampaian Anugerah Sempena Hari YIK 2004

6-7 Julai - Setelah MTAQ muncul sebagai Sekolah Terbaik YIK 2003, warga MTAQ juga tidak dilupakan untuk turut menerima anugerah. Pelajar SMU terbaik 2003 MTAQ, Abdul Hakim bin Mahadzir telah menerima hadiah di majlis sambutan Hari YIK 2004 di Balai Islam Lundang, Kota Bharu. Pihak guru pula telah menerima hadiah mereka sebagai mengenang jasa mereka mengangkat nama MTAQ dalam pelbagai peringkat pada keesokan hari di dalam perhimpunan mingguan. Hampir seluruh tenaga pengajar di MTAQ mendapat hadiah dalam pelbagai subjek peperiksaan SMU dan SPM. Tahniah buat kalian!

Ceramah Umum

9 Julai 2004 - Sebuah ceramah umum telah diadakan di dewan MTAQ pada pagi ini. Ceramah yang dianjurkan oleh Badan Kaunseling ini adalah bertajuk "Akidah beriman dengan perkara ghaib". Seorang ustaz daripada SMU(A) Arabiah, Pasir Mas telah dijemput untuk memberikan ceramah mengenai tajuk tersebut. Ceramah dimulakan pada pukul 10.20 pagi dengan bacaan al-Quran oleh salah seorang pelajar. Ustaz Roslan bin Abdullah adalah seorang yang mempunyai pengetahuan dan berpengalaman luas tentang perkara ghaib ini telah memperkatakan tentang buruk dan baik mengamalkan amalan yang berkaitan perkara ghaib. Beliau turut menyentuh tentang ilmu persialatan melayu yang sekarang kebanyakannya berasaskan ilmu ghaib. Para pelajar kemudiannya diberikan peluang untuk menyoal perkara yang mereka tidak berapa jelas mengenai perkara ghaib. Ceramah berakhir pada pukul 12.00 tengah hari.

Kursus Kaifiat Solat Nabi

10 Julai - Badan Dakwah & Kepimpinan menganjurkan sebuah lagi kursus iaitu Kursus Kaifiat Solat Nabi yang dikelolakan oleh penceramah jemputan, Ustaz Nukman bin Che Amin. Kursus ini telah memberikan gambaran jelas dan menyeluruh kepada semua pelajar tentang cara-cara melakukan solat dengan sempurna sebagaimana yang diajar oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Peperiksaan SMTQ 2004

11 Julai - Seramai 49 orang pelajar SMU/SMTQ telah berdepan dengan peperiksaan lisan SMTQ selama tiga hari bermula pada hari ini. Dua orang ahli panel telah menjadi panel penilai dalam peperiksaan ini, seorang wakil daripada YIK dan seorang lagi daripada MTAQ. Calon-calon ini akan menghadapi peperiksaan bertulis SMTQ pada 15 Julai 2004. Semoga rekod SMU/SMTQ sebelum ini dapat dipertingkatkan lagi pada tahun ini.

Pertukaran Mudir MTAQ

15 Julai - Seluruh warga MTAQ telah dikejutkan pada pagi ini dengan berita tentang pertukaran Mudir tersayang, Ustaz Nasir bin Mohamed Hasbullah ke SMU (A) Saniah, Pasir Puteh. Ini dikatakan hasil rombakan pihak atasan YIK yang melibatkan beberapa orang lagi pengetua dan pegawai YIK yang ditukarkan. Ustaz Nasir akan melaporkan diri di SMU(A) Saniah pada 18 Julai 2004. Walaupun kami di MTAQ bersedih dengan pertukaran ini, namun kami tetap mendoakan ustaz di tempat baru dan semoga ustaz dapat menjalankan tugas dengan baik. Tempat beliau di MTAQ bakal digantikan dengan bekas Ketua Penolong Pengarah YIK, Ustaz Mansur bin Daud yang juga merupakan mudir pertama di MTAQ. Beliau dijangka akan memulakan tugas di MTAQ apabila sesi persekolahan bermula pada 20 Julai 2004 setelah pelajar bercuti selama empat hari bermula esok.

Ogos

Majlis perpisahan bekas pengetua

1 Ogos - Pihak pentadbiran sekolah mengatur sebuah majlis yang meraikan pemergian Ustaz Mohd Nasir bin Mohamed Hasbullah sebagai bekas pengetua MTAQ yang berpindah ke SMU (A) Saniah, Pasir Puteh. Majlis bermula pada pukul 9.00 pagi dengan Ustaz Nik Hamdi bin Nik Abd Ghani sebagai pengerusi majlis. Beliau mempersilakan Ustaz Mukhlis Mustafa untuk membacakan ayat suci al-Quran beserta qiraat.

Slot ucapan dimulakan dengan ucapan Saudara Md Khairul Anuar (Presiden Majlis Pelajar), Ustaz Nasruddin Abdullah (Presiden Alumni MTAQ), Ustaz Zailan Salleh (rakan karib Ustaz Nasir), Ustaz Suhaimi Sulaiman (Penolong Kanan 1). Menurut Ustaz Suhaimi, Ustaz Nasir telah banyak berjasa kepada MTAQ dengan Kemudian, majlis menjemput Ustaz Nasir sendiri untuk memberikan amanat terakhir dan harapan beliau kepada warga MTAQ.

Beberapa orang alumni MTAQ yang pulang bercuti daripada Mesir, Mekah dan Madinah juga sempat hadir ke majlis tersebut.

Kemudian majlis diteruskan dengan acara persembahan oleh para pelajar. Antara yang dipersembahkan ialah nasyid, pentomen dan deklamasi sajak. Untuk persembahan terakhir, pengerusi majlis telah menjemput Ustaz Khir Abd Jalil untuk menyampaikan sebuah lagu untuk Ustaz Nasir. Ustaz Khir adalah bekas pelajar MTAQ dan juga bekas solo kumpulan nasyid MTAQ yang pernah memenangi pelbagai anugerah.

Slot terakhir ialah slot penyampaian hadiah. Banyak hadiah daripada badan-badan, persatuan, kelas dan individu telah disampaikan kepada Ustaz Nasir tetapi itu semua tidak dapat membalas segala jasa baik beliau yang telah banyak menyumbang kejayaan di MTAQ.

Diharapkan semoga Ustaz Nasir tidak melupakan kami di sini walaupun sudah berada di tempat lain.

Peperiksaan percubaan SMU/SPM/STAM

2-18 Ogos - Calon-calon yang akan mengambil peperiksaan SMU, SPM dan STAM untuk tahun ini akan menghadapi peperiksaan percubaan bermula 2 Ogos 2004. Peperiksaan ini akan bermula dengan peperiksaan bagi calon SPM pada 2 Ogos manakala calon SMU dan STAM bermula 9 Ogos. Diharapkan agar semua calon dapat berusaha dengan gigih demi mengekalkan kecemerlangan sekolah.

Cuti Sekolah

20-28 Ogos - Cuti sekolah selama sembilan hari.

September

Hari Fotografi

5 September - Badan Redaksi & Pameran 2004 mengadakan sebuah sesi fotografi yang berlangsung selama satu hari. Sesi ini melibatkan semua kakitangan dan pelajar dan berjalan dengan sempurna. Semua gambar yang diambil akan dimasukkan ke dalam majalah sekolah Al-Hafiz 2004 kelak.

Kem Kecemerlangan Pelajar SMU, SPM dan STAM 2004

6-9 September - Pihak Pentadbiran sekolah menganjurkan sebuah perkhemahan tahunan yang melibatkan 88 orang pelajar, iaitu semua pelajar SMU, SPM dan STAM yang telah dibahagikan kepada 11 kumpulan. Perkhemahan ini bertempat di Pusat Pembangunan Ummah Kelantan (PUPUK), Labok bertujuan untuk memastikan calon-calon SMU, SPM dan STAM pada tahun ini dapat mengekalkan kecemerlangan MTAQ. Program yang berlangsung selama empat hari ini telah dirasmikan oleh Tuan Pengetua MTAQ, Ust Hj Mohd Mansor bin Hj Daud. Ia diisi dengan Latih Tubi Gerak Gempur (LTGG) untuk mendedahkan kepada pelajar strategi menjawab soalan peperiksaan. Selain itu, terdapat juga program-program ibadah dan kerohanian, seperti Qiamulail, kuliah subuh, slot motivasi, muhasabah dan sebagainya. Majlis perasmian penutup telah dirasmikan oleh PK1 MTAQ, Ust Suhaimi bin Sulaiman. Beliau telah melahirkan rasa berpuas hati dengan perjalanan kem ini dan mengharapkan semoga para peserta dapat mengambil input-input yang telah didedahkan sepanjang kem ini. Secara umumnya, kesemua peserta dan AJK pelaksana yang terdiri daripada guru-guru amat berpuas hati dengan program ini. Semoga segala usaha murni yang diaturkan ini akan membuahkan hasil dan meningkatkan lagi prestasi cemerlang MTAQ pada tahun ini.

Diambil daripada "http://mtaq.edu.my/2004"
Kategori: 2004

Laman utama • Senarai laman • Gelintar

Editorial: Panduan • Log masuk • Daftar

© 2003-2010 Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat • Perihal • Penyalinan